Friday, December 9, 2016

Tertarik untuk melihat penghuni neraka?



Dari Abu Hurairah berkata; Bahwasanya ada seorang Arab Badwi yang lewat di depan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia memiliki kesehatan dan ketegapan badan yang mengagumkan.
Abu Hurairah berkata;

Maka beliau shallallahu 'alaihi wasallam memanggilnya dan bersabda; "Apakah kamu pernah mengalami ummu mildam?" maka dia bertanya; "Apa itu ummu mildam?" beliau shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Demam, " dia bertanya kembali; "Apa itu demam?" beliau shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Suhu panas tinggi yang berada antara kulit dan tulang, " dia berkata; "Aku tidak pernah mengalami hal seperti itu." 

Beliau shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apakah kamu pernah merasakan shuda' (pusing)?" dia bertanya; "Apa itu shuda'?" Beliau shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Denyut sakit yang berada pada dua otak dan kepala, " dia berkata; "Aku tidak pernah mengalami hal semacam itu." 

Abu Hurairah berkata; Maka tatkala Arab Badwi tersebut pergi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa tertarik untuk melihat penghuni neraka maka lihatlah dia."
[HR. Ahmad: 8439]

Ibn Mas'ud berkata, "Kamu akan melihat orang kafir, manusia yang paling sihat tubuhnya, namun orang yang paling sakit hatinya. Sedangkan, kamu menjumpai orang mukmin, manusia yang paling sihat hatinya dan paling sakit tubuhnya.
[Hasad,Zuhud (247)]

Dipetik dari karya Syeikh Mahmud Almisri, Buku Tarbiah Stories, 2016, Jasmin Publications, halaman 379.
Read More

Tuesday, July 26, 2016

Tuntutan Menuntut Ilmu, Perkongsian daripada Seorang Pensyarah Universiti Islam Madinah



Di sini, saya berkongsi sedikit dari catatan saya dari tazkirah oleh Syeikh Khalid bin 'Ali Ad-Duwaisy, Pensyarah di Universiti Islam Madinah yang di terjemah oleh Ustaz Mohammad Syariffudin dari Pejabat Mufti Sarawak. Tajuk tazkirah tidak dinyatakan dan bagi saya ia adalah berkenaan 'Penuntut Ilmu'.

Pada awalnya, Syeikh mengajak kita bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah. Nikmat yang paling utama adalah nikmat hidayah Islam dan Iman, dimana Allah telah mengeluarkan kita dari kegelapan dengan memberikan kita Cahaya.

Dengan nikmat Islam, Allah mengangkat darjat kita dan akan memberi kedudukan istimewa di Syurga kelak. Insyaallah. Fikir sejenak dan bandingkan kita dengan orang kafir yang masih dalam kesesatan, kita seharusnya sentiasa memuji Allah di atas nikmat ini.

Kenapa Allah memberi nikmat ini kepada kita?

Ini adalah kerana cinta-Nya kepada hamba-hambaNya, lalu Dia membuka Jalan yang Haq kepada kita.

Jalan yang Haq adalah nikmat yang sebenar-benar nikmat.

Syeikh juga mengingatkan kewajiban kita untuk bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bersyukur bukan sekadar di bibir atau lisan sahaja. Syukur perlu ditunjukkan dengan Amal Soleh.
Nikmat seterusnya selepas nikmat Hidayah adalah nikmat Ilmu. Ilmu adalah landasan kita menuju ke Syurga dan hanya dengan ilmu kita boleh mengenal Allah. Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda, "Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga."

Kemudian Syeikh bertanya kepada kami, 
"ما معنى عبادة؟ "
( Apa makna ibadah?)

Menuntut ilmu adalah ibadah seutama-utama ibadah seperti ibadah lain seperti solat, puasa, menunaikan haji dan lain-lain. Ganjaran akan disediakan oleh Allah untuk penuntut ilmu.

Pentingnya menuntut ilmu sehinggakan beribadah seperti solat pun memerlukan ilmu, bukan hanya ikut-ikut sahaja. Segala amal ibadah kita wajib seperti apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallahu alaihi wasallam. Jika tidak, maka amalan itu ditolak.

Segala amal ibadah kita wajib seperti apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallahu alaihi wasallam. Jika tidak, maka amalan itu ditolak.

Bagaimana kita hendak mengenal sesuatu amalan itu adalah seperti yang diajar oleh Rasulullah sallahu alaihi wasallam? Ini hanya dapat dicapai dengan mencari dan menggali ilmu. Rasulullah sallahu alaihi wasallam sendiri sentiasa berdoa kepada Allah supaya ditambahkan ilmu.Allah telah memberi kedudukan tinggi dan kebaikan kepada penuntut ilmu. Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda, "Barangsiapa yang Allah berkehendak padanya kebaikan, nescaya diberikan kepadanya kefahaman dalam Agama."

Di antara kelebihan menuntut ilmu adalah Allah sendiri berbangga dengan penuntut ilmu dihadapan malaikat dan makhluk-Nya yang ada di langit dan bumi termasuk ikan di dalam air. Cuba fikir sejenak, siapa kita ini untuk dibanggakan oleh Allah sedangkan hidayah itu milik Allah.

Sesungguhnya penuntut ilmu adalah pewaris Nabi sallallahu alaihi wasallam kerana beliau sallallahu alaihi wasallam tidak mewariskan harta, beliau hanya mewarisi ilmu. Ambillah warisan Nabi kita sallahu alaihi wasallam iaitu ilmu sebagaimana anak mengambil harta yang diwaris oleh orang tua-nya.

Syeikh juga mengingatkan kita bahawa seluruh manusia sentiasa dalam kerugian seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Asr,"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beramal soleh... "

Untuk beramal soleh perlu ada ilmu. Tidak ada manfaat untuk beramal tanpa ilmu dan juga tidak bermanfaat ilmu itu tanpa beramal. Syarat untuk mendapat ganjaran dalam menuntut ilmu adalah seorang penuntut ilmu itu perlu ikhlas.

Tidak ada manfaat untuk beramal tanpa ilmu dan juga tidak bermanfaat ilmu itu tanpa beramal.

Dengan ilmu ia membolehkan kita untuk mencari dan mendapat rezeki, dengan ilmu juga kita mendapat Syurga. Alangkah baik jika kita mendapat kedua-duanya? Namun yang lebih utama adalah ilmu Akhirat kerana kehancuran akan terjadi tanpa ilmu ini.

Perbanyakkan berdoa kepada Allah,
اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Kita sebagai hamba yang lemah perlu meminta pada Allah untuk mentaati-Nya dan memohon supaya mendapat ilmu untuk sentiasa memperbaiki amal ibadah kita.

Pada penghujung Syeikh ada berkongsi syair yang saya tidak sempat mencatat semuanya, yang berbunyi,
"Ilmu menghadirkan rasa takut kepada Allah,
Menuntutnya adalah zikir,
Mencarinya adalah jihad,
Mengajarnya adalah sedekah,
Ia adalah peneman ketika kesunyian dan keseorangan,
Ia adalah guru untuk mengenal Halal dan Haram,
.............. "

Akhir sekali, Syeikh kongsikan potongan ayat surah Az-Zumar, Ayat 9,
"...... Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."


Wallahu'alam
22 Syawal 1437
Read More

Monday, April 11, 2016

BAGAIMANA ISTERI SAYA MEMBACA 7 BUKU DALAM MASA SEMINGGU

Saya pernah terbaca dalam artikel Sinar Harian Online, menurut laporan statistik Perpustakaan Negara pada tahun 2010, purata buku yang dibaca oleh seorang rakyat Malaysia hanyalah dua hingga lapan buku setahun.

Bukankah itu terlalu sedikit?

Mungkin orang Malaysia termakan dengan kata-kata "Membaca buku tanpa Guru, umpama belajar dengan Syaitan."

Mungkin tips di bawah boleh membantu kita untuk membaca lebih 100 buah buku setahun.


 1. Niat dan Tujuan 

Lihat buku-buku yang terdapat pada gambar, sudah pasti anda boleh teka apakah niat dan tujuan isteri saya untuk membaca.

Mempunyai niat dan tujuan adalah perkara paling penting, ini yang akan menjadi motivasi untuk anda terus membaca.

Seperti isteri saya, beliau berniat untuk membaca buku tentang 'parenting' bertujuan untuk mendapat ilmu dan idea bagaimana untuk mendidik anak. Maka, motivasi nya adalah untuk mendidik anak supaya menjadi penyejuk mata kami.

 2. Sifat Rasa Ingin Tahu yang Tinggi 

Rasa ingin tahu yang tinggi juga menjadi motivasi untuk membaca. Buku selalu menjawab soalan yang anda sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanya.

Namun, jika anda merasa anda sudah tahu semua benda perkara sudah pasti anda malas untuk membaca.

 3. Sentiasa Membawa Buku 

Bawa buku yang dibaca ke mana sahaja anda pergi. Setiap kali ada kelapangan masa walaupun hanya 5 minit, ambil kesempatan untuk membaca.

Kunci utama di sini adalah 'momentum'. Jika tiada momentum maka anda akan putus asa untuk menghabiskan membaca buku tersebut.

 4. Rancang Buku Seterusnya 

Seperti tips yang sebelumnya, anda perlu mengekalkan momentum, pastikan anda sudah merancang buku apa yang hendak dibaca seterusnya.

Momentum, momentum, momentum!

 5. Menceritakan Apa yang Dibaca 

Kerjasama suami pun sangat penting, pastikan si suami menjadi pendengar yang baik dan setia ketika isteri sedang bersemangat menjelaskan tentang apa yang dibacanya.

Ini juga praktis yang baik supaya apa yang dibaca mudah diingat dan difahami.

 6. Suami yang Rajin Membeli Buku 

Sekali lagi peranan suami sangat penting, rajin-rajinlah membeli buku untuk isteri baca. 


7. Sentiasa berdoa kepada Allah memohon ilmu yang bermanfaat.


...Dan katakanlah, "Wahai Rabb-ku tambahkanlah ilmu kepadaku." 
(Thaahaa: 114)

"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat , rezeki yang Halal, dan amal yang diterima."
(Ibnu Majah no. 925)

Selain itu, kita juga disarankan berdoa dari ilmu yang tidak bermanfaat.

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyu', nafsu yang tidak pernah puas, dan do'a yang tidak dikabulkan."
(HR Muslim no. 2722)


Wallahu'alam

Abdul Aziz Anwar

03 Rejab 1437
Read More

Wednesday, April 6, 2016

FOREX: Kenapa saya tinggalkan



Sejak 2-3 bulan ini, ada beberapa kenalan yang bertanya tentang Forex Trading dan kenapa saya tinggalkan.

Saya terlibat dengan Forex Trading pada sekitar tahun 2007-2008 ketika saya masih lagi seorang pelajar di UNITEN. Bersama 2 orang rakan, kami berjaya memperoleh lebih kurang 30k USD (lebih kurang RM100 ribu) dalam masa kurang dari setahun dengan modal hanya 1k USD (lebih kurang RM3,600).

Namun, disebabkan tamak kami menukar strategi kami dengan meletakkan 'take profit' lebih tinggi, iaitu dari 10 pips kepada 30 pips. Padahal, dengan hanya 10 pips tersebut kami mendapat keuntungan dalam 200 hingga 1000 USD untuk satu 'position' bergantung pada mata wang yang di’trade'.

Disebabkan kesilapan itu, kami rugi dengan teruk sekali sebab kami 'trade' dengan menggunakan 'full margin' untuk setiap 'position/order'. Untungnya cepat, rugi pun cepat.

Saya selalu follow seorang trader, nickname "Wiseman Trader" (nama sebenar tidak akan dinyatakan) seorang cikgu berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau merupakan guru saya dalam Trading menggunakan "Trading Chaos by Bill Williams". Jika anda biasa menggunakan MT4 Platform anda pasti akan melihat 'Technical Indicator' atas nama Bill Williams.

Wiseman Trader telah membuat banyak 'profit' dalam Trading beliau selama beberapa tahun. Namun, tiba-tiba beliau katakan pada saya, mahu berhenti Trading dan mengajar kerana takut seksaan Allah. Pada ketika itu saya tidak faham sehingga beliau berikan link video ceramah tentang Kewangan Islam dari Dr Zaharuddin Abd Rahman, seorang Pakar Kewangan Islam.

Pada masa itu, Ustaz Zaharuddin belum diketahui ramai. Bayangkan, saya sudah mendapat banyak keuntungan, rupa-rupanya ia telah difatwakan haram kerana Forex Trading melibatkan Riba. Sudah tentu akan mencari ustaz atau ulama yang meringankan hukum tersebut. Namun, hujah-hujah yang meringankan Forex Trading ternyata lemah dan dibahas oleh ustaz yang tidak Pakar dalam Fiqh Kewangan Islam.

Salah satu hadis yang di sebut Ustaz Dr. Zaharuddin dalam buku atau artikelnya berbunyi,

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 
"Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.."  
(Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Tidakkah hadis di atas sudah cukup menakutkan?

Tujuan saya menulis ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi atas kasih sayang sesama umat lebih-lebih lagi kepada sahabat yang saya sayangi sudah ramai terlibat dalam Trading dan Investment berasaskan FOREX.

Nasihat saya kepada sahabat-sahabat yang sudah terlibat, bertaqwalah kepada Allah. Amaran yang keras telah diberi kepada penerima, pemberi, yang menjadi saksi dan pencatat dalam urusan Riba.

Allah berfirman yang bermaksud, 

"Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." 
(al-Baqarah:279)

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :
Ertinya : "Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah subhannahu wa ta'ala " 
(Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah R.H pula : 

" Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan" 
(Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas R.H pula berkata :
Ertinya : "Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah subhanallah wa ta'ala dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364)

Sila Rujuk link di bawah;




Wallahu'alam
Abdul Aziz Anwar
29 JAMADIL AKHIR 1437H
Read More