Wednesday, August 29, 2018

"Kenapa Islam banyak sangat peraturan kena ikut? Susah lah!"



"Kenapa Islam banyak sangat peraturan kena ikut? Susah lah!"

Seringkali kita mendengar keluhan seperti ini atau mungkin dari diri kita sendiri. Saya sendiri pun pernah merasa demikian.

'Solat 5 waktu. Bangun waktu subuh seawal 5 pagi! Tengahari, petang, senja, dan malam perlu solat.'

'Pergaulan antara lelaki dan perempuan ada batasnya. Pandangan mata mesti dijaga dan tidak boleh berinteraksi sesuka hati dengan berlawanan jenis.'

'Wanita wajib menutup aurat, hanya wajah dan tapak tangan boleh dizahirkan. Ada pula yang mengadu panas atau tidak selesa berpakaian mengikut syarak!'

'Diharamkan makan bangkai, khinzir dan sebagainya. Bukankah ini semua ciptaan Allah?'

'Islam mengharamkan muzik tetapi kajian barat mengatakan ia boleh merangsangkan otak. Kenapa tak boleh?'

Dan lain-lain lagi.

Kita harus sedar bahawa semua 'sekatan' yang kita rasa itu dibuat kerana Allah sayang pada kita. Peraturan dibuat untuk ketenangan dan keselamatan kita. Bukan saja-saja.

Cuba kita bayangkan lebuhraya tanpa peraturan, tanpa had laju, dan kenderaan boleh bergerak sesuka hati atau bergerak arah bertentangan. Ferrari dipandu 280 km sejam dan kereta Myvi pula bergerak 80km sejam datang dari arah bertentangan. Berlaku kemalangan, pergaduhan dan kacau bilau.

Begitulah jika tiada peraturan yang ditetapkan untuk seluruh manusia. Kita akan buat sesuka hati yang pasti akan bawa kepada kehancuran. Peraturan yang sedia sekiranya dilanggar akan kacau bilau juga. Bayangkan kalau tiada langsung!

Peraturan bukan untuk menyekat tetapi untuk mengawal supaya kita terselamat daripada bahaya. Seperti seorang ibu yang menyekat anaknya supaya jangan main di jalan raya demi keselamatan. Walaupun anak itu menangis untuk bermain tetap si ibu akan menghalangnya.

Siapa yang lebih tahu apa yang baik dan buruk untuk kita? Sudah tentu Pencipta kita, Allah azza wa jalla.

Semua perkara yang diharamkan oleh Allah pasti membawa keburukan dan semua perkara yang diperintahkan pasti membawa kepada kebaikan. Walaupun belum nampak pada mata manusia.

Percayalah, ilmu Allah Maha Luas dan ilmu kita terbatas. Dan percayalah, kasih Allah kepada hamba-Nya lebih daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Read More

Thursday, August 9, 2018

Menyahut cabaran #MALAYSIAMEMBACA Dr. Maszlee Malik

Menyahut cabaran #MALAYSIAMEMBACA Dr. Maszlee Malik, saya senaraikan 10 buku kegemaran:

1. “Purpose of Creation” karya Dr Abu Ameenah Bilal Philips.
Persoalan ‘Kenapa kita diciptakan?’ sering menjadi tanda tanya dikalangan kita termasuk orang Islam sendiri. Penulis membuat perbandingan beberapa falsafah selain Islam dengan pandangan Islam mengenai persoalan ini.
Buku ini menghuraikan secara menyeluruh pandangan Islam tentang persoalan ini dengan dalil dari al-Quran dan hadis.

2. “The Evolution of Fiqh” karya Dr Abu Ameenah Bilal Philips.
Bagaimana mazhab boleh wujud dalam Islam?
Apakah faktor yang menyebabkan ada perbezaan di antara mazhab-mazhab ini?
Persoalan di atas dibincangkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami oleh orang awam dalam buku ini.

3. “Sincere Counsel to Seekers of Sacred Knowledge” karya Ibn al-Jawzi.
Pada asalnya, buku ini ditulis untuk menasihati anak penulis tentang pentingnya mencari dan mendalami ilmu agama. Sungguh terasa dijiwa akan keikhlasan nasihat dan kasih sayang seorang ayah yang inginkan anaknya berjaya di dunia dan akhirat.
Ayat 'power' dalam buku ini,
“Knowledge and action are twins, whose mother is high motivation.” - Ibn al-Jawzi

4. “Mukmin Profesional” karya Ustaz Pahrol Juoi.
“Kita hidup, bukan hidup-hidupan” adalah ayat yang memberi impak besar kepada saya dalam buku ini. Allah ciptakan jin dan manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya. Tapi, bagaimana kita boleh jadikan 24 jam kita ibadah?
Buku ini menjelaskan bagaimana kita boleh jadikan setiap perbuatan kita itu satu ibadah termasuk pekerjaan kita.

5. Hikmah di Balik Musibah & Ruqyah Syar’iyyah karya Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas.
Buku ini adalah hiburan buat hati yang ditimpa musibah.
Membaca buku ini seolah-olah membuat ujian yang berat menjadi ringan dengan membaca kalam Allah dan Rasul-Nya yang disusun oleh penulis untuk orang yang ditimpa ujian.

6. “Ayahku” karya HAMKA.
Perjuangan ayah penulis (HAMKA) yang berjuang untuk menegakkan agama Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Pada masa itu (tahun 1900), amalan agama bercampur-baur dengan budaya nusantara yang bertentangan dengan ajaran Islam telah pun berleluasa.
Perjuangan menegakkan sunnah bukanlah perjuangan baru di Nusantara, tentangan dari golongan yang suka membuat perkara baru dalam agama sudah lama dan akan terus ada.

7. “Masuk Syurga Sekeluarga” karya Ustaz Bachtiar Nasir.
Masuk syurga sekeluarga adalah impian setiap keluarga Islam. Buku ini adalah bacaan penting buat yang bergelar ayah dalam memimpin keluarga menuju keredhaan Allah.

8. “Kau Sembah Apa?” karya Ahmad Iqram Mohamad Noor.
Topik perbandingan agama sentiasa menarik minat saya.
Keistimewaan buku ini adalah ia hanya fokus pada agama-agama yang wujud di Malaysia sahaja.
Penulis tidak hanya mengambil rujukan dari buku/kitab lain tetapi beliau sendiri berdialog dengan ketua-ketua agama untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam tentang sesuatu agama. Menarik dan padat!

9. “The 7 Habits of Highly Effective People” karya Stephen R. Covey.
Saya membaca buku kerana dicadangkan oleh Dr Abu Ameenah Bilal Philips dalam salah satu ceramahnya. Buku ini tidak asing lagi bagi penggemar buku motivasi. This is truly an outstanding book!

10. "How to Read a Book: The Classic Guide to Intelligent Reading" karya Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren.
Cuba huraikan secara ringkas dalam bahasa sendiri - buku yang telah kita baca. Sekiranya tidak mampu, itu bermakna kita belum faham buku tersebut.
Membaca buku ada cara dan adabnya.
Buku ini memberi panduan bagaimana kita boleh dapatkan manfaat yang maksimum dari buku yang kita baca.
Read More

Sunday, July 29, 2018

Hafalan al-Quran yang Luar Biasa!



Saya kagum dengan hafalan al-Quran anak-anak didik Ustaz Kamilin Jamilin.

Hafalan mereka diuji bukan dengan menyuruh mereka menyambung ayat al-Quran yang dipilih secara rawak seperti pelajar tahfiz yang biasa.

Tetapi mereka diuji supaya membacakan ayat al-Quran dengan menyatakan nombor ayat itu.

Sebagai contoh, kita tanya pada anak-anak ini "Bacakan ayat dari Surah Al-Baqarah, ayat 167." Mereka boleh membaca ayat itu dengan tepat.

Bukan itu saja, tanya lagi, "Bacakan 20 ayat sebelum itu." Mereka boleh jawab lagi dengan tepat.

Dan ditanya lagi "Apakah 10 ayat sebelum itu." Anak-anak ini boleh membacakan ayat itu dengan tepat.

Saya sempat berbual dengan anak-anak didik Ustaz Kamilin.

Saya: Berapa umur dik?
A: 11 tahun bang.
Saya: Berapa juz dah hafal?
A: 11 juz setengah.
Saya: Berapa lama target nak habiskan 30 juzuk?
A: Kami tak target macam tu bang. Ustaz ajar suruh kami mantapkan hafalan bukan berapa cepat kami boleh hafal.

Semoga Allah memberkati mereka semua!
Read More