Thursday, August 13, 2020

Reviu Buku: 1001 Pelajaran daripada Kisah Nabi Yusuf


Setiap malam sebelum tidur, anak-anak aku minta ‘bedtime story’. Aku ada beli buku kanak-kanak kisah Nabi Yusuf. Baru baca 3 halaman, aku berhenti kerana ragu-ragu akan kesahihan cerita yang sudah ditokok tambah.

Jadi, aku terus baca terjemahan daripada Surah Yusuf dan ceritakan apa yang aku ingat daripada ceramah-ceramah yang aku pernah dengar dan ingat untuk lebih selamat.

Mata anak-anak aku pada mulanya terbuka setengah kerana mengantuk akan membesar seperti bulan purnama bila dengar kisah Nabi Yusuf ini.

Mereka sedih bila Nabi Yusuf dihumban ke dalam perigi dan terlompat-lompat seronok bila Nabi Yusuf akhirnya bersatu kembali dengan ahli keluarganya.

Setakat ini dah lebih 5 kali ulang kisah Nabi Yusuf. Anak-anak aku masih seronok dengar.

Bila dah banyak kali ulang, anak-anak aku dah mula bertanya soalan seperti,

“Babah, kenapa Nabi Yusuf tak tulis surat dengan ayahnya bila dah besar?”

“Babah, kenapa Nabi Yusuf letak piala Raja dalam beg Bunyamin. Babah selalu cakap tak boleh tipu?.”

Aku jawab, “Babah tak tahu. Nanti babah cari jawapan.”

Nasib baik aku ada beli buku ‘1001 Pelajaran daripada Kisah Nabi Yusuf’ terbitan PiS masa awal PKP lalu.



Buku ini adalah terjemahan kitab Fawa’id Mustanbatah min Qissat Yusuf karya Syaikh Abd Al-Rahman ibn Nasir Al-Sa’di.


Antara yang menarik tentang buku ini adalah:

1. Buku ini menjawab soalan-soalan anak aku berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan diterangkan secara mudah dan padat.
 
2. PiS adalah antara penerbit yang terbaik dalam kategori buku terjemahan dan sentiasa ada penambahbaikan. Aku ada beberapa buah buku terbitan PiS.

Sesuai bagi mereka yang sedang mempelajari bahasa Arab sebab halaman sebelah kanan ada teks asal Bahasa Arab dan sebelah kiri pula terjemahan Bahasa Malaysia.

3. Salah satu kekurangan buku yang diterjemah daripada bahasa lain adalah makna sesuatu perkara larut atau hilang disebabkan peralihan bahasa. Kadang-kadang, tidak sampai maksud sebenar apa yang disampaikan oleh penulis dalam bahasa asal.
Namun, penterjemah buku ini mengambil berat tentang pembacanya. Beliau tidak menterjemah isi buku ini langsung begitu sahaja, tetapi diterjemahkan supaya pembaca faham apa yang dimaksudkan.

 

Aku bagi satu contoh ringkas, pada halaman 166-167 buku ini.

 

Penulis buku mengambil potongan ayat 38 daripada Surah Yusuf,

 

ذَٰلِكَ مِن فَضْلِ اللَّهِ عَلَيْنَا

 

Jika diterjemah secara langsung, ayat ini bermaksud, “Yang demikian itu adalah daripada karunia Allah kepada kami”.

 

Dalam buku ini pula diterjemah, “Mentauhidkan Allah ialah hasil daripada limpah kurnia Allah kepada kita.” kerana sebelum potongan ayat ini menceritakan tentang mentauhidkan Allah.
Jadi, tidaklah pembaca terpinga-pinga.

4. Setiap perkara yang terjadi dalam hidup kita ada sebab dan akibat.

Dalam kisah ini, kalau Nabi Yusuf tidak dihumban ke dalam perigi oleh abang-abangnya, tidaklah beliau di jual kepada Pembesar Negeri Mesir, al-Aziz. Kalau Nabi Yusuf tidak dibeli oleh al-Aziz, tidaklah beliau masuk penjara akibat difitnah isteri al-Aziz.

Kalau tidak kerana di penjara, tidaklah beliau diperkenalkan kepada pelayan Raja. Dan kalau tidak diperkenalkan kepada Raja, tidaklah beliau menafsir mimpi yang telah menyelamatkan negeri Mesir daripada kebuluran akibat kemarau yang panjang.

Namun, apakah pengajaran di sebalik perjalanan kisah hidup Nabi Yusuf?

Ia dibongkarkan dalam buku ini secara jelas dari pelbagai makna dan hukum-hakam yang bermanfaat, serta panduan ke arah kebaikan dan peringatan daripada kebinasaan.


5. Buku ini nipis, menjadikan buku ini mudah dihabiskan dan diulang. Lebih kurang 200 muka surat. 100 muka surat dalam Bahasa Malaysia dan 100 muka surat lagi dalam Bahasa Arab.



Bagi aku kitab ini perlu dimiliki oleh setiap muslimin dan muslimat yang mahu memperoleh faedah daripada kisah yang indah ini, untuk dibandingkan dengan kehidupan sendiri.

Allah berfirman pada akhir kisah ini,
"Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran."
[Surah Yusuf, ayat 111]


Sebagai tambahan, aku selitkan tulisan Prof Dr. Hamka,

“Diistimewakan Surat yang satu ini mengisahkan suka-duka Yusuf Rasulullah, mengandung hikmat yang terbesar bagi seluruh manusia mukmin untuk dibandingkan dengan kehidupan sendiri.

Bahwasanya bukanlah mudah hidup itu, yang kadang-kadang harus berkuah air-mata, tetapi pula harus tabah menghadapi kesulitan, karena turun dan naik nasib adalah silih-berganti, keadaan tidak tetap demikian saja.”
[Pendahuluan Tafsir Surah Yusuf, Kitab Tafsir al-Azhar, susunan Prof Dr. Hamka]


Wallahu a'lam
Read More

Bukan Asal Kerja

"Syifaa, babah nak rehat. Babah penat sayang." isteriku pujuk Syifaa, anak kedua kami.

Hari itu, sampai rumah aku terus baring atas sofa lepas kerja. Pejam mata mungkin sebab terlalu lama depan skrin 'laptop'.

Sampai rumah, Syifaa biasanya berlari ke arah aku nak minta dukung. Kadang-kadang dah tunggu kat depan pintu rumah. Rasa macam artis ada peminat setia. Haha.

Kesian pulak dengan anak-anak bila aku dah letih. Tak larat nak layan. Anak pun buat muka masam.
Biasalah di pejabat. Kalau tak banyak kerja, sampai rumah boleh main kejar-kejar dengan anak. Kalau terlalu sibuk, nak pandu kereta balik pun rasa tak larat. 

Terkadang, rasa macam sia-sia. Bekerja semata-mata mencari wang. Masa mencari wang lebih daripada masa beribadah. "Bila masa nak ibadah? Bila masa nak menuntut ilmu?" persoalan ini selalu terlintas dalam fikiran.

Aku biasa buka YouTube dalam perjalanan ke pejabat atau balik rumah. Macam dengar radio.

Satu hari tu, aku buka ceramah Ustad Dr. Syafiq Riza Basalamah bertajuk 'Bukan Asal Kerja'.
Ustaz kongsikan satu hadis yang telah mengubah 'mindset' aku tentang bekerja.

Daripada Ka’ab bin Ujrah, dia berkata, 

“Ada seorang lelaki melewati Nabi ﷺ, maka para sahabat melihat betapa lelaki ini masih muda dan kuat, mereka mengatakan, “Ya Rasulullah, alangkah baiknya kalau orang ini keluar berjihad di jalan Allah.”

Beliau bersabda, 

“Kalau dia keluar mencari nafkah buat anaknya yang masih kecil maka dia juga jalan Allah;

Kalau dia bekerja untuk mencari nafkah buat kedua ibu bapa yang sudah tua maka dia juga di jalan Allah;

Kalau dia bekerja untuk mencukupi keperluan sendiri agar terjaga kehormatan maka dia juga di jalan Allah.

Tetapi kalau dia bekerja untuk riya` dan membanggakan diri maka dia di jalan syaitan.” [1]


Penjelasan ringkas hadis,

1. Pekerjaan halal dinilai sebagai jihad fi sabilillah jika diniat untuk menafkahi diri, keluarga dan ibu bapa.

2. Bekerja untuk menjaga kehormatan diri supaya tidak meminta-minta dan tidak mengambil hak orang juga dinilai sebagai jihad di jalan Allah. 

Masyarakat yang bekerja kurang kadar jenayah berbanding masyarakat yang ramai penganggur.

3. Seseorang itu berada di jalan syaitan jika berkerja untuk riya' dan membangga diri.
Contoh, seorang lelaki meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di bandar. Dia berniat mencari wang supaya boleh beli kereta besar untuk berbangga atau ingin dihormati di kampung. Maka, dia di jalan syaitan.


Kawan-kawan, 

Bekerja itu berjuang di jalan Allah. Cuma, situasi dan cabaran berbeza.

Hero pun cedera dan luka di medan pertempuran dan tetap berjihad untuk mencapai kemenangan.

Mencari nafkah juga jihad. 

Kita berdepan dengan kerja yang belambak, bos jahat, rakan sekerja yang suka tikam belakang, klien yang sombong, dan lain-lain. Semua ini memberi kesan luka dan kecederaan mental dan fizikal.

Jadi, setiap kali merasa letih atau tertekan disebabkan kerja, ingatlah hadis di atas. Kita sedang berjihad di jalan Allah! 

Firman Allah Azza wa Jalla,

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. 

(Surah at-Taubah, ayat 41)

Wallahu'alam.


Sumber rujukan:

[1]
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة ، قَالَ : مَرَّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ ، فَرَأَى أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ جِلْدِهِ وَنَشَاطِهِ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ : لَوْ كَانَ هَذَا فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيرَيْنِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ ، وَإِنْ كَانَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يُعِفُّهَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ رِيَاءً وَمُفَاخَرَةً فَهُوَ فِي سَبِيلِ الشَّيْطَانِ.
Dikeluarkan oleh Ath-Thabarani dalam ash-Shaghir, no. 940 dan Al-Awsath, no. 6835. Al-Haitsami mengatakan dalam Al-Majma’ (4/596): “Para perawi Al-Kabir adalah perawi kitab shahih.”
Read More