Saya pernah terbaca dalam artikel Sinar Harian Online, menurut laporan statistik Perpustakaan Negara pada tahun 2010, purata buku yang dibaca oleh seorang rakyat Malaysia hanyalah dua hingga lapan buku setahun.
Bukankah itu terlalu sedikit?
Mungkin orang Malaysia termakan dengan kata-kata "Membaca buku tanpa Guru, umpama belajar dengan Syaitan."
Mungkin tips di bawah boleh membantu kita untuk membaca lebih 100 buah buku setahun.
1. Niat dan Tujuan
Lihat buku-buku yang terdapat pada gambar, sudah pasti anda boleh teka apakah niat dan tujuan isteri saya untuk membaca.
Mempunyai niat dan tujuan adalah perkara paling penting, ini yang akan menjadi motivasi untuk anda terus membaca.
Seperti isteri saya, beliau berniat untuk membaca buku tentang 'parenting' bertujuan untuk mendapat ilmu dan idea bagaimana untuk mendidik anak. Maka, motivasi nya adalah untuk mendidik anak supaya menjadi penyejuk mata kami.
2. Sifat Rasa Ingin Tahu yang Tinggi
Rasa ingin tahu yang tinggi juga menjadi motivasi untuk membaca. Buku selalu menjawab soalan yang anda sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanya.
Namun, jika anda merasa anda sudah tahu semua benda perkara sudah pasti anda malas untuk membaca.
3. Sentiasa Membawa Buku
Bawa buku yang dibaca ke mana sahaja anda pergi. Setiap kali ada kelapangan masa walaupun hanya 5 minit, ambil kesempatan untuk membaca.
Kunci utama di sini adalah 'momentum'. Jika tiada momentum maka anda akan putus asa untuk menghabiskan membaca buku tersebut.
4. Rancang Buku Seterusnya
Seperti tips yang sebelumnya, anda perlu mengekalkan momentum, pastikan anda sudah merancang buku apa yang hendak dibaca seterusnya.
Momentum, momentum, momentum!
5. Menceritakan Apa yang Dibaca
Kerjasama suami pun sangat penting, pastikan si suami menjadi pendengar yang baik dan setia ketika isteri sedang bersemangat menjelaskan tentang apa yang dibacanya.
Ini juga praktis yang baik supaya apa yang dibaca mudah diingat dan difahami.
6. Suami yang Rajin Membeli Buku
Sekali lagi peranan suami sangat penting, rajin-rajinlah membeli buku untuk isteri baca.
7. Sentiasa berdoa kepada Allah memohon ilmu yang bermanfaat.
...Dan katakanlah, "Wahai Rabb-ku tambahkanlah ilmu kepadaku."
(Thaahaa: 114)
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat , rezeki yang Halal, dan amal yang diterima."
(Ibnu Majah no. 925)
Selain itu, kita juga disarankan berdoa dari ilmu yang tidak bermanfaat.
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyu', nafsu yang tidak pernah puas, dan do'a yang tidak dikabulkan."
(HR Muslim no. 2722)
Wallahu'alam
Abdul Aziz Anwar
03 Rejab 1437
0 comments:
Post a Comment