Seringkali kita mendengar keluhan seperti ini atau mungkin dari diri kita sendiri. Saya sendiri pun pernah merasa demikian.
'Solat 5 waktu. Bangun waktu subuh seawal 5 pagi! Tengahari, petang, senja, dan malam perlu solat.'
'Pergaulan antara lelaki dan perempuan ada batasnya. Pandangan mata mesti dijaga dan tidak boleh berinteraksi sesuka hati dengan berlawanan jenis.'
'Wanita wajib menutup aurat, hanya wajah dan tapak tangan boleh dizahirkan. Ada pula yang mengadu panas atau tidak selesa berpakaian mengikut syarak!'
'Diharamkan makan bangkai, khinzir dan sebagainya. Bukankah ini semua ciptaan Allah?'
'Islam mengharamkan muzik tetapi kajian barat mengatakan ia boleh merangsangkan otak. Kenapa tak boleh?'
Dan lain-lain lagi.
Kita harus sedar bahawa semua 'sekatan' yang kita rasa itu dibuat kerana Allah sayang pada kita. Peraturan dibuat untuk ketenangan dan keselamatan kita. Bukan saja-saja.
Cuba kita bayangkan lebuhraya tanpa peraturan, tanpa had laju, dan kenderaan boleh bergerak sesuka hati atau bergerak arah bertentangan. Ferrari dipandu 280 km sejam dan kereta Myvi pula bergerak 80km sejam datang dari arah bertentangan. Berlaku kemalangan, pergaduhan dan kacau bilau.
Begitulah jika tiada peraturan yang ditetapkan untuk seluruh manusia. Kita akan buat sesuka hati yang pasti akan bawa kepada kehancuran. Peraturan yang sedia sekiranya dilanggar akan kacau bilau juga. Bayangkan kalau tiada langsung!
Peraturan bukan untuk menyekat tetapi untuk mengawal supaya kita terselamat daripada bahaya. Seperti seorang ibu yang menyekat anaknya supaya jangan main di jalan raya demi keselamatan. Walaupun anak itu menangis untuk bermain tetap si ibu akan menghalangnya.
Siapa yang lebih tahu apa yang baik dan buruk untuk kita? Sudah tentu Pencipta kita, Allah azza wa jalla.
Semua perkara yang diharamkan oleh Allah pasti membawa keburukan dan semua perkara yang diperintahkan pasti membawa kepada kebaikan. Walaupun belum nampak pada mata manusia.
Percayalah, ilmu Allah Maha Luas dan ilmu kita terbatas. Dan percayalah, kasih Allah kepada hamba-Nya lebih daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.
0 comments:
Post a Comment