Thursday, August 13, 2020

Bukan Asal Kerja

"Syifaa, babah nak rehat. Babah penat sayang." isteriku pujuk Syifaa, anak kedua kami.

Hari itu, sampai rumah aku terus baring atas sofa lepas kerja. Pejam mata mungkin sebab terlalu lama depan skrin 'laptop'.

Sampai rumah, Syifaa biasanya berlari ke arah aku nak minta dukung. Kadang-kadang dah tunggu kat depan pintu rumah. Rasa macam artis ada peminat setia. Haha.

Kesian pulak dengan anak-anak bila aku dah letih. Tak larat nak layan. Anak pun buat muka masam.
Biasalah di pejabat. Kalau tak banyak kerja, sampai rumah boleh main kejar-kejar dengan anak. Kalau terlalu sibuk, nak pandu kereta balik pun rasa tak larat. 

Terkadang, rasa macam sia-sia. Bekerja semata-mata mencari wang. Masa mencari wang lebih daripada masa beribadah. "Bila masa nak ibadah? Bila masa nak menuntut ilmu?" persoalan ini selalu terlintas dalam fikiran.

Aku biasa buka YouTube dalam perjalanan ke pejabat atau balik rumah. Macam dengar radio.

Satu hari tu, aku buka ceramah Ustad Dr. Syafiq Riza Basalamah bertajuk 'Bukan Asal Kerja'.
Ustaz kongsikan satu hadis yang telah mengubah 'mindset' aku tentang bekerja.

Daripada Ka’ab bin Ujrah, dia berkata, 

“Ada seorang lelaki melewati Nabi ﷺ, maka para sahabat melihat betapa lelaki ini masih muda dan kuat, mereka mengatakan, “Ya Rasulullah, alangkah baiknya kalau orang ini keluar berjihad di jalan Allah.”

Beliau bersabda, 

“Kalau dia keluar mencari nafkah buat anaknya yang masih kecil maka dia juga jalan Allah;

Kalau dia bekerja untuk mencari nafkah buat kedua ibu bapa yang sudah tua maka dia juga di jalan Allah;

Kalau dia bekerja untuk mencukupi keperluan sendiri agar terjaga kehormatan maka dia juga di jalan Allah.

Tetapi kalau dia bekerja untuk riya` dan membanggakan diri maka dia di jalan syaitan.” [1]


Penjelasan ringkas hadis,

1. Pekerjaan halal dinilai sebagai jihad fi sabilillah jika diniat untuk menafkahi diri, keluarga dan ibu bapa.

2. Bekerja untuk menjaga kehormatan diri supaya tidak meminta-minta dan tidak mengambil hak orang juga dinilai sebagai jihad di jalan Allah. 

Masyarakat yang bekerja kurang kadar jenayah berbanding masyarakat yang ramai penganggur.

3. Seseorang itu berada di jalan syaitan jika berkerja untuk riya' dan membangga diri.
Contoh, seorang lelaki meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di bandar. Dia berniat mencari wang supaya boleh beli kereta besar untuk berbangga atau ingin dihormati di kampung. Maka, dia di jalan syaitan.


Kawan-kawan, 

Bekerja itu berjuang di jalan Allah. Cuma, situasi dan cabaran berbeza.

Hero pun cedera dan luka di medan pertempuran dan tetap berjihad untuk mencapai kemenangan.

Mencari nafkah juga jihad. 

Kita berdepan dengan kerja yang belambak, bos jahat, rakan sekerja yang suka tikam belakang, klien yang sombong, dan lain-lain. Semua ini memberi kesan luka dan kecederaan mental dan fizikal.

Jadi, setiap kali merasa letih atau tertekan disebabkan kerja, ingatlah hadis di atas. Kita sedang berjihad di jalan Allah! 

Firman Allah Azza wa Jalla,

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. 

(Surah at-Taubah, ayat 41)

Wallahu'alam.


Sumber rujukan:

[1]
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة ، قَالَ : مَرَّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ ، فَرَأَى أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ جِلْدِهِ وَنَشَاطِهِ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ : لَوْ كَانَ هَذَا فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيرَيْنِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ ، وَإِنْ كَانَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يُعِفُّهَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ رِيَاءً وَمُفَاخَرَةً فَهُوَ فِي سَبِيلِ الشَّيْطَانِ.
Dikeluarkan oleh Ath-Thabarani dalam ash-Shaghir, no. 940 dan Al-Awsath, no. 6835. Al-Haitsami mengatakan dalam Al-Majma’ (4/596): “Para perawi Al-Kabir adalah perawi kitab shahih.”

0 comments:

Post a Comment